Friday 12 August 2011

Ramadan Mendidik Akhlak Mulia (asma)

Dipetik oleh Riduan Khairi
“Berapa banyak orang yang berpuasa hanya mendapatkan rasa haus dan lapar?” (Sahih, Hadis Ibnu Majah)
Pertanyaan ini dimajukan oleh Nabi kepada para sahabatnya dan kepada umat Islam umumnya. Ini menunjukkan tidak sedikit dari kalangan orang Islam yang menahan makan dan minum pada bulan Ramadan, namun tidak mendapat apa-apa faedah dan pahala dari lapar dan dahaga.
Mulut yang berpuasa bukan sekadar tidak makan atau minum serta tidak memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa. Puasa juga menuntut kita menahan mulut dari perkara-perkara yang akan menghilangkan pahala puasa. 
Selain merehatkan jasad dan anggota badan, Ramadan juga medan melatih akhlak mulia. Imam Bukhari merekodkan hadis dari Nabi, “Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”
Perintah menjaga pendengaran, penglihatan dan lidah atau ringkasnya menjaga adab dan akhlak tidak hanya khusus pada bulan Ramadan sahaja. Namun penekanan diberi pada bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa. Ini kerana orang-orang yang lapar berpuasa cenderung gagal mengawal emosi dan bertindak diluar kawalan. Sehingga lahir ungkapan ‘bangsa yang pemarah adalah bangsa yang rakyatnya lapar.’ 
Banyak pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia menyarankan untuk mengatasi amarah dengan makanan yang mengandung glukosa atau makanan peningkat suasana hati untuk mencegah rasa lapar. Salah satu makanan yang kaya dengan glukosa ialah makanan pilihan Nabi ketika berbuka puasa iaitu buah kurma.
Antara akhlak yang dituntut oleh Nabi ketika berpuasa termasuklah meninggalkan kata-kata dusta. Ia termasuk hal yang membatalkan pahala puasa.
Ini dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, “Siapa yang puasanya tidak mencegah dari bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka Allah merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).”
Demikian juga meninggalkan hal yang tidak berfaedah dan sia-sia, “Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji.” (Sahih Al-Jami As-Saghir) 
Puasa itu perisai, maka apabila seseorang berpuasa, hendaklah dia tidak berbuat lucah (perbuatan yang menjurus kepada hubungan seksual), tidak berbuat fasik, tidak berbuat suatu yang bodoh. Apabila seseorang mencaci makinya, hendaklah dia mengatakan: Saya sedang berpuasa!” (Hadis Bukhari dan Muslim)
Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Antara kegiatan yang selalu dilakukan untuk menghabiskan masa di siang hari Ramadan ialah menonton televisyen, mendengar rancangan radio dan muzik-muzik di radio.
Secara umumnya kedua media ini menyajikan kandungan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makan, baik makan bersahur, makan berbuka dan makananan hari raya. Makanya Ramadan sudah bertukar menjadi pesta makanan. Sungguh-sungguh ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan oleh masyarakat Barat suatu ketika dahulu tentang televisyen sebagai ‘idiot box’.
Banyak lagi hal lain yang tidak dilakukan secara berlebihan melainkan pada bulan Ramadan. Demi menunggu waktu berbuka ramai yang memilih untuk ‘window shoping’ di pasar raya dan pasar Ramadan. Ada juga yang bersiar-siar menaiki kereta pusing kota atau menunggang motosikal pusing kampung. Sedang umat Islam digalakkan perbanyak doa pada bulan Ramadan terutama menjelang waktu berbuka puasa.
Keutamaan Akhlak Mulia
Imam Ibnu Qudamah menyebutkan dalam Mukhtahsar Minhaj Al-Qashidin, bahwa akhlak merupakan ungkapan tentang kondisi jiwa, yang begitu mudah menghasilkan perbuatan, tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Jika perbuatan itu baik, maka disebut akhlak yang baik jika buruk disebut akhlak yang buruk.
Akhlak juga bererti din (agama) sebagaimana Allah berkata, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (Al-Qalam: 4) 
Akhlak memiliki beberapa keutamaan dan kelebihan yang sangat tinggi dalam agama. Ia termasuk dalam perkara yang memiliki timbangan yang paling berat atas neraca Allah. Nabi berkata, “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (Hadis Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Sahabat Abu Hurairah menceritakan bahawa Nabi pernah ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk surga? Beliau menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak mulia.” Beliau juga ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka beliau menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hasan sahih, Hadis Tirmidzi)
Dek penting dan utamanya kedudukan akhlak dalam timbangan amal manusia, maka Nabi mengajarkan satu doa untuk membaiki akhlak. Imam Muslim merekodkannya dalam kitab Sahihnya,  “Dan berikanlah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tidak ada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau.”

No comments:

Post a Comment