Saturday, 3 September 2011

MEMAKAI INAI BERUKIR DILAKNAT ALLAH - gha-

Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.


1. Dari Ibnu Umar ra katanya: “ Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”..(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim).

2. Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”..(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)
Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.

Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita t ida k tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya..

HUKUM MEMAKAI INAI - gha -

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa penggunaan henna (inai) diharuskan untuk mewarnakan pada mana-mana bahagian anggota badan kecuali di kepala sama ada kepada lelaki ataupun perempuan.

Manakala mazhab syafie pula berpendapat bahawa lelaki diharuskan memakai henna (inai) pada mana-mana bahagian tubuh badan KECUALI tangan dan kakinya. Walaubagaimanapun ia dibenarkan sekiranya melibatkan hal-hal perubatan atau darurat. Perempuan yang berada di dalam iddah kerana kematian suaminya juga dilarang memakai inai.

Imam An-nawawi Rh dalam fatwa al-majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai henna di tangan dan kaki mereka.

Manakala mazhab hanafi dan maliki pula, lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh anggota kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.

Ini diriwayatkan daripada Khawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah S.A.W memberitahu kepada Umm Salamah, “Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian.” (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma’rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-tamheed)

Diriwayatkan dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada baginda S.A.W. lalu baginda melihat tangan itu seraya baginda bersabda: “Aku tidak tahu sama ada ini tangan lelaki atau perempuan.” Perempuan itu menjawab: “Aku adalah seorang wanita.” Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (hadith riwayat abu dawud)

Abu Hurairah .a meriwayatkan orang mukhannath (khunsa) yang mewarnakan tangannya dengan henna (inai) dibawa ke hadapan rasulullah. Dikatakan kepada Rasulullah S.A.W: "Wahai Rasulullah. Lelaki ini cuba menyerupai wanita." Lalu lelaki itu dihalau dari al-baqi' (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada rasulullah S.a.w: "Kenapa dia tidak dibunuh?" Lalu baginda S.A.W bersabda: "Aku dilarang membunuh mereka yang bersembahyang." (Diriwayatkan oleh ABu Dawud, Sahih Al-Jaami', 2502)

3 hadith di dalam hal ini, wanita diharuskan memakai inai pada tangan dan kaki mereka TETAPI berwaspada sekiranya tujuan pemakaiannya adalah untuk seperti memakai wangian dengan tujuan tabarruj, maka ia adalah haram.

Hadith yang kedua dan ketiga, bahawa galakan rasulullah S.A.W menyuruh kaum wanita untuk memakai inai pada tangan adalah untuk berbeza antara lelaki dan perempuan. DI sini datang pula hadith S.A.W bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.




Wallahua’alam.

Friday, 2 September 2011

BAGAIMANA MENGAWAL KEMARAHAN? - gha -

MARAH salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci Allah (SWT) dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja’far bin Muhammad berkata: “Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian).”
Justeru, Rasulullah menganjurkan umatnya jangan marah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).
Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.
Pada peringkat permulaan, sifat marah bukan penyakit, cuma luahan seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkah laku. Ia adalah akibat daripada sesuatu sebab atau kesan yang kalau tidak berbuat demikian, kita berasa tidak selesa dan resah gelisah.
Sifat marah sudah mula bertapak di hati, jika tidak dibendung lama kelamaan akan memakan diri sendiri. Ia juga akan membawa padah kepada orang yang kita sayangi dan hormati, serta membawa keburukan serta kemudaratan kepada sekeliling kita.
Bagi membendung dan mengubati penyakit marah, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat terbaik iaitu menahan diri tatkala marah dan sabar ketika hawa nafsu meluap-luap.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah (SWT)).” (Riwayat al-Tirmizi)
Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan oleh syaitan. Syaitan dijadikan daripada api oleh itu ingatlah bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan di anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas akibat marah.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud).
Nabi Muhammad SAW menasihatkan kepada orang yang sedang marah supaya mengambil wuduk. Di samping itu, perbanyakkan zikir kepada Allah (SWT) dapat menghapus dan memadamkan api kemarahannya yang sedang meluap-luap.
Islam mengajar umatnya mengambil berat hubungan murni antara suami dan isteri, anak dengan ibu bapa dan antara adik beradik. Ia adalah teras penting kehidupan sesebuah keluarga.
Allah (SWT) berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu (Allah (SWT)) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun).” (Surah al-Israk ayat 23).
Keluarga bahagia memang menjadi idaman kita. Namun, sepanjang hidup bersama ada ketikanya suami marah terhadap isteri dan anak dan begitulah sebaliknya. Kemarahan itu mungkin berkaitan dengan disiplin dalam rumah, tingkah laku anak, kewangan, makanan dan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal rumah tangga.
Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri.
Inilah yang sering timbul apabila sifat marah sudah mula menular di dalam jiwa. Marah boleh merosak dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.
Orang yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus bertoleransi dan persefahaman antara sesama manusia. Hindarkan sebab atau punca yang boleh menyebabkan orang lain memarahi kita.
Sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang dan bantulah dirinya mencari punca kemarahannya.
Bagi orang sering marah, renung dan hayatilah firman Allah (SWT) bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.” (Surah al-Syura ayat 37).
Marah adalah penyakit yang sepatutnya dihindari, tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Jika mereka dalam tanggungannya sengaja melanggar perintah Allah (SWT), ketua keluarga wajib menegur dan memarahi.
Rasulullah marah apabila hukum Allah (SWT) dilanggar dan dipermainkan, tetapi harus ingat bahawa marah bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki tangan sehingga memukul sebaliknya ia mestilah bertujuan mendidik untuk menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat itu. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semula jadi pada diri manusia, supaya ia membawa kebaikan kepada manusia dan bukan membawa kebinasaan.
Ingatlah marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat dan ia juga boleh membawa mudarat. Orang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya agar ia membawa manfaat, bukan mudarat.

3 PERINGKAT KEMARAHAN - gha -

Orang yang marah mempunyai 3 peringkat.

Peringkat pertama:
Marah ketika sedang berbaring. Peringkat ini peringkat yang terendah. Orang yang marah ketika berbaring, marahnya tidak tahan lama. Marahnya akan hilang setelah beberapa minit apabila orang yang ingin dimarahi itu diam.

Peringkat Kedua:
Marah ketika duduk. Kemarahan ini adalah peringkat sederhana. Orang yang marah ketika duduk juga tidak bertahan lama kemarahannya. Tetapi lebih lama daripada marah ketika berbaring. Orang yang marah di peringkat ini akan memberi sedikit tekanan kepada orang yang dimarahi dengan harapan agar mendapat sedikit respon daripada orang yang dimarahi. Walau bagaimanapun, jika orang yang dimarahi itu tidak memberi respon, kemarahan seseorang itu akan beransur pulih.

Peringkat Ketiga:
Marah ketika berdiri. Peringkat ini adalah peringkat kemarahan yang paling maksima. Orang yang marah ketika berdiri ini tidak akan pulih kemarahannya selagi dia tidak dapat apa yang diingini. Dia akan memberi tekanan demi tekanan dan ada kalanya disertakan dengan tindakan (seperti memukul) kepada orang yang dimarahi itu sehinggalah mangsanya itu memberi respon kepadanya. Orang yang marah di peringkat ini juga pantang dicabar.

Marah itu sinonim dengan sifat api. Semakin tinggi kedudukan api itu, semakin panaslah bahangnya..

*segala fakta diatas tidak semestinya betul. Ia berdasarkan pengalaman saya sahaja. :)